Persidangan Maya Badan Pensijilan Halal Perkukuh Kefahaman Sejagat

2020-10-06 11:06

PUTRAJAYA - Halal Certification Bodies Virtual Conference 2020 (HCBvC 2020) telah melabuhkan tirai pada 04 September yang lalu. Berpaksi tema Halal: Bridging The Nation, Shaping The Future, persidangan yang dianjurkan oleh JAKIM secara maya ini berjaya menarik penyertaan hampir 250 orang perwakilan daripada 84 badan-badan pensijilan halal melibatkan 46 buah negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Indonesia, Afrika Selatan, India dan lain-lainnya. Pemilihan platfom secara atas talian dalam menganjurkan siri persidangan ke 11 ini adalah tepat dan bersesuaian dengan persekitaran pandemik Covid 19 yang sedang melanda dunia.

Pelbagai topik telah dibincangkan sepanjang 3 hari persidangan tersebut berlangsung bermula 02 September lepas antaranya diskusi berkaitan Fiqh Halal Kontemporari, Kepentingan Penyelidikan Kepada Fatwa Halal, Inovasi & Teknologi Pensijilan Halal, Isu-isu & Sembelihan Halal Berdasarkan Protokol serta Standard Malaysia juga pelbagai lagi topik yang dikupas dan dikongsi oleh tokoh-tokoh profesional halal Malaysia yang berkepakaran dalam bidang masing-masing.

Persidangan yang dirasmikan oleh YB Tuan Marzuk Shaary, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini dilihat mampu memperkasa pembangunan kapsiti halal dunia bersesuaian dengan situasi terkini yang telah memunculkan pelbagai inovasi dan pendekatan segar untuk meneruskan agenda halal walaupun berdepan suasana norma baharu pada masa kini.

Selain itu, program berimpak tinggi sebegini bukan hanya menitikberatkan usaha bagi meningkatkan tahap kefahaman ahli perwakilan yang menganggotai badan-badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM malah mampu mengharmonisasikan kefahaman terhadap tujuan utama pelaksanaan persidangan dalam konteks memahami ekosistem halal berteraskan sistem dan standard halal Malaysia yang menjadi tumpuan dan rujukan dunia.

Agenda lain yang berjaya menepati hasrat penganjuran pada kali ini adalah memperkukuh hubungan kerjasama antara badan-badan pensijilan halal luar negara di samping dapat memanfaatkan pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam mengendalikan pensijilan halal secara komprehensif dan dipercayai.

Persidangan secara maya yang berlangsung di Blok D, Kompleks Islam Putrajaya ini turut mendapat perhatian dari pihak pengurusan tertinggi JAKIM apabila YBhg. Puan Hjh. Hakimah Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM turut hadir menyampaikan ucaptama pada hari kedua persidangan berkenaan seterusnya menunjukkan komitmen berterusan JAKIM bagi memperkukuhkan Malaysia selaku peneraju badan pensijilan halal bertaraf dunia. Semoga persidangan seumpama ini memberi manfaat kepada ummah untuk terus memperoleh dan berkongsi info-info halal yang sangat penting dari semasa ke semasa.

Ikuti kupasan dan liputan penuh berkaitan persidangan ini di Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM :-http://bit.ly/FBHABHALAL.

Untuk maklumat lanjut, layari http://www.halalcbconvention.com.my

#YakiniHalalMalaysia
#HalalMalaysiaHaveFaith
#HalalConnectingTheWorld
#MusaadahCovid19
#AgainstCovid19